Xifu Naser : Islam elak lapor khalwat!


ISLAM menjaga hak privasi individu. Ini adalah prinsip asas. 

Seorang wanita yang sudah bercerai haram baginya menceritakan keaiban bekas suaminya kepada orang lain. Mengumpat bukan bermakna buat cerita palsu tetapi bercakap yang benar pun mengumpat, khususnya apabila menyentuh soal-soal privasi individu.

Tidak cukup dengan di atas, Islam juga mengukuhkan lagi hak privasi individu dengan satu hak yang istimewa: Hak Menutup Keaiban. Malangnya hak ini diketepikan oleh budaya agama kita yang celoteh.


Terdapat keadaan-keadaan di mana seorang individu mengaku kepada Nabi SAW tentang perbuatan zina atau khalwatnya tetapi Nabi SAW mengelaknya dan tidak mempedulikannya. Pengadu ini terpaksa mengekori Nabi SAW dan mengadu beberapa kali, barulah Nabi mendengar seolah-olah dalam keadaan terpaksa.

Berdasarkan cara Nabi SAW ini, syariah lebih condong kepada mencipta satu budaya elak laporkan kes-kes zina atau khalwat kepada autoriti sebagaimana Nabi SAW elak mendengar pengakuan. Bagi amaran dulu dan cuba fahami masalah mangsa. Mungkin kerana keluarga yang begitu materialistik sehingga menyukarkan mereka untuk bernikah.

Kalau kita nampak kawan kita berkhalwat, syariah sebenarnya galakkan kita untuk elak laporkan pada pihak berkuasa pencegah maksiat. Ini adalah kerana bila kes sudah sampai ke pihak autoriti, ia wajib diadili hakim. Hakim mempunyai amanah untuk melaksanakan hukuman bila maksiat terbukti berlaku untuk menjaga maslahat umum.

Maka, rakyat umum yang bukan pihak berkuasa, perlu dididik untuk sedar bahawa mereka mempunyai Hak Menutup Keaiban kawannya yang berkhalwat. Mereka tidak perlu rasa bersalah seolah-olah mereka bersekongkol untuk menghalalkan khalwat. 
Hak Menutup Keaiban ini diberi atas sifat rahmat Islam. Manusia dicipta dalam keadaan lemah. Manusia bukan malaikat. Setiap manusia ada keaibannya. 

Maka, prinsip asas ialah sifat rahmat, bukan sifat menghukum. Sifat menghukum adalah pengecualian.

Maknanya reaksi pertama ialah kita tidak laporkan atau besarkan isu khalwat kawan kita. Kita tutup keaibannya. Reaksi pertama Nabi SAW ialah elak dengar pengakuan khalwat. 
Budaya mencari keaiban sudah menjadi satu kemestian dalam budaya hiburan dan politik demokrasi di Malaysia. Kita lihat di media bagaimana kejayaan mencungkil keaiban merupakan hiburan, bahkan disensasikan!

Budaya politik kita juga melihat “mujahidin siber” sebagai satu kemestian demi menjatuhkan maruah lawan. Segala usaha dibuat untuk besarkan keaiban lawan demi untuk menggambarkan kesucian dirinya supaya rakyat mengundinya. 

Video dipasang di dalam bilik hotel, kemudian ditayangkan kepada umum kelakuan zina walaupun sebenarnya hanya pelakon yang menyerupai pihak lawan! Mencungkil, menceritakan dan mereka-reka keaiban adalah kerjaya profesional zaman sekarang. 

Budaya mencungkil keaiban ini merebak kepada mindset agama. Melaporkan kes khalwat serta-merta dilihat sebagai jihad. No Second Chance. Kalau boleh, kita dedahkan aib kawan kita yang berkhalwat dalam sosial media supaya kita dapat banyak like. Lagi sensasi curi-curi tangkap video dan masukkan dalam YouTube supaya dapat berjuta views.

Sifat menghukum dan melanggar hak privasi individu bertukar menjadi prinsip umum, budaya perdana seolah-olah Islam adalah hukuman. Sifat rahmat, memaafkan, sifat tutup keaiban menjadi pengecualian, bahkan seolah-olah ia satu dosa bersubahat!

Saya tidak setuju seruan G25 untuk mansuhkan undang-undang hukuman khalwat. Tujuan undang-undang ini ialah untuk menjaga keselamatan mereka yang lemah. Kita lihat berapa banyak kes di mana teman lelaki rogol teman wanita yang mempercayainya sehingga mengikutnya pergi ke tempat yang terpencil. Bahkan, ada yang memanggil satu geng untuk turut serta merogol. 

Undang-undang bertujuan mendidik. Undang-undang khalwat bertujuan mendidik tentang bahaya khalwat, tentang bahaya mudah mempercayai seorang teman ketika dilamun cinta.
G25 dan agamawan patut melihat isu ini dalam konteks masalah budaya yang lebih luas. Bila statistik rompak naik, ia bukan sekadar kerana undang-undang gagal menghukum perompak, lebih tepat lagi kerana masalah ekonomi, masalah materialisme, masalah kehancuran institusi keluarga, masalah pendidikan agama, masalah hiburan hedonisme dan lain-lain.

Adalah tidak logik untuk mansuhkan undang-undang hukuman rompak demi untuk cegah rompak! Demikian juga khalwat.

* Abdul Naser Tun Rahman Ketua Biro Pendidikan Persatuan Cina Muslim

Comments

Popular Posts