Xifu Naser: Bahasa Arab wajib, bukan jawi
JAWI, sebagaimana Urdu, bukan bahasa Arab. Selalu terdapat salah faham bahawa seseorang yang tahu jawi semestinya tahu bahasa Arab. Ini adalah dua bahasa yang jauh berbeza walaupun jawi, sebagaimana Urdu, mengambil huruf-huruf Arab.
Kita lihat ramai orientalis Barat fasih Arab walaupun mereka tidak tahu jawi. Mazhab Shafi’i mewajibkan seorang mukalaf untuk mengetahui sekurang-kurangnya asas bahasa Arab.
Mengetahui bahasa bukan sekadar bermakna mengenal hurufnya atau membaca tanpa faham apa yang dibaca sebagaimana seorang kanak-kanak mungkin hafal lagu K-Pop dan mampu menyanyikan kembali dengan fasih dan melagukan dengan indah tetapi tidak bermakna dia tahu bahasa Korea.
Mengetahui asas bahasa Arab maknanya mengetahui asas nahu sehingga dia mampu faham secara kasar dan ringkas ayat-ayat al-Quran, selawat dan doa-doa yang dibacanya dalam solat. Sebenarnya, mengetahui bahasa Arab adalah satu pengiktirafan kepada keistimewaan al-Quran iaitu bahasa aslinya dipelihara.
Gospel Kristian tidak dipelihara dalam bahasa asalnya. Masih berlaku perdebatan sama ada Nabi Isa itu menyampaikan ajarannya dalam bahasa Hebrew atau Aramaic atau Greek! Kerana wujudnya masalah bahasa asal, penganut agama Kristian sangat bergantung pada terjemahan Bible seolah-olah terjemahan itulah bahasa asal Bible.
Pergilah mana-mana kedai buku Kristian di Malaysia, kita akan dapati hanya Bible Inggeris dijual, bukan Bible bahasa Aramaic, Greek atau Hebrew sedangkan Nabi Isa tidak bercakap Inggeris pun!
Bahkan kalau nama Jesus dipanggil, Nabi Isa sendiri tidak mengenali yang dirinya dipanggil kerana nama Jesus bukan Hebrew atau Aramaic! Jesus ialah nama Inggeris yang dicipta pada kurun ke-17!
Senario sangat berlainan kalau dibandingkan dengan al-Quran. Pergilah mana-mana masjid atau kedai buku biasa sahaja, mudah sangat dapat al-Quran dalam bahasa asalnya iaitu bahasa Arab dan terjemahan disertakan di sebelahnya. Ini adalah kerana Islam amat mementingkan konsep keaslian-kesahihan beragama.
Haram membaca terjemahan al-Quran semasa solat. Tidak sah solat jika seorang Muslim membaca terjemahan surah al-Fatihah dalam solat dan bukan Arabnya. Maka, ini bermakna setiap Muslim perlu rasa bertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa Arab.
Di sini saya bagi contoh bagaimana kebergantungan pada terjemahan boleh menghasilkan tafsiran yang terlalu sempit dan mengelirukan. Dalam Surah al-Fatihah, ayat “iyyaaka na’budu” biasanya diterjemahkan dalam jawi atau bahasa Malaysia sebagai Hanya kepada Engkau, kami sembah. Frasa “na’budu” diterjemahkan sebagai kami sembah.
Dr Yamin Cheng, seorang pemikir Cina Muslim yang pakar perbandingan agama telah menulis tentang kekeliruan konsep ibadah. Cuba tanya soalan mudah ini: antara KFC dan masjid, mana satu tempat untuk “kami sembah”?
Sudah tentu jawapannya ialah masjid, bukan KFC. KFC tempat makan, bukan tempat penyembahan. Logik bahasanya ialah kami sembah Tuhan, melaksanakan upacara keagamaan di masjid, bukan di KFC. Makan dan goreng ayam bukan upacara keagamaan dan penyembahan! Mindset ini sebenarnya adalah mindset sekular yang memisahkan agama dari keduniaan.
Ada banyak sebab mengapa wujudnya mindset sekular. Tetapi salah satu sebab ialah terjemahan jawi “na’budu” sebagai “kami sembah” mengelirukan konsep ibadah yang sebenar.
Perkataan sembah bukan bahasa Arab walaupun ia perkataan jawi. “Na’budu” mengikut bahasa Arab berkait dengan perkataan ibadah yang juga perkataan Arab. Apabila kita lihat kaitan dua perkataan ini dalam kerangka bahasa dan aqidah, kita akan lihat bahawa kita juga “na’budu” dalam KFC!
Bahkan setiap amalan baik kita adalah dikira na’budu kerana ibadah bukan sekadar sembah tetapi melaksanakan setiap tanggungjawab kita di dunia dengan kesedaran seolah-olah kita melihat Tuhan atau Tuhan melihat kita setiap saat.
Dengan pemahaman konsep na’budu ini, maka khusyuk bukan sekadar dalam solat tetapi dalam setiap ibadah, pelaksanaan tanggungjawab. Kita berusaha khusyuk iaitu berusaha menjadi secekap dan seamanah yang mungkin dalam melaksanakan setiap tanggungjawab kita.
Jangan terkejut jika diberitahu bahawa tidur juga adalah ibadah. Maka, khusyuklah dalam tidur malam ini supaya esok dapat bangun untuk melaksanakan tanggungjawab dengan segar-bugar!
* Abdul Naser Tun Rahman Ketua Biro Pendidikan Persatuan Cina Muslim
Comments
Post a Comment