Fikir kritis, metod Surah al-ma’un

AL-QURAN bukan sekadar kitab hukum hakam, halal haram. Ia adalah kitab yang mengajar metod berfikir kritis. Budaya pendidikan perlu melahirkan umat yang bukan menunggu jawaban dari guru atau ulama.

“Apa masalah umat kita, Xifu?” pelajar tanya saya.
“Fikirlah sendiri dulu,” saya jawab.

“Bagaimana saya fikir sendiri? Saya tak tahu cara berfikir sendiri.” Pelajar mula tunjukkan kerisauan.

Saya mengajak pelajar itu menghayati tiga ayat pertama dalam Surah al-Ma’un di mana terjemahannya ialah seperti di bawah:


1)     Adakah engkau lihat dan berfikir tentang orang yang mendustakan agama?
2)    Orang itu ialah yang menindas dan berlaku zalim kepada anak yatim
3)    Dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.

Ayat pertama mengajak berfikir. Ayat kedua mengajak berfikir secara afirmatif iaitu apa yang TELAH BUAT. Ayat ketiga mengajak berfikir secara negatif iaitu apa yang TIDAK BUAT.

Ayat pertama bermula dengan frasa “ara’aita” yang bermaksud “Adakah engkau lihat?” “Adakah engkau berfikir?”

al-Quran mengajak insan untuk lihat dan berfikir. Bukan melepak dan lihat kosong-kosong sahaja. Ayat kedua dan ketiga mengajar kita dua cara berfikir yang perlu digabungkan bersama.

Apabila kita lihat orang yang mendustakan agama, ayat kedua mengajak kita untuk bertanya secara afirmatif, “Apa yang dia TELAH BUAT sehingga dia dikenali sebagai orang yang mendustakan agama?”

Surah al-Ma’un memberi satu contoh iaitu dia telah membuat satu kesalahan - penindasan terhadap anak yatim. Orang yang bersalah ialah orang yang telah melakukan perbuatan  salah.

Ayat ketiga Surah al-Ma’un pula mengajak kita untuk terus bertanya secara negatif, “Apa yang dia TIDAK BUAT sehingga dia dikenali sebagai orang yang mendustakan agama?” Surah ini memberi satu contoh iaitu dia tidak buat galakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.

Maknanya orang yang bersalah ialah juga orang yang tidak melakukan perbuatan sepatutnya dia lakukan.

Ringkasnya, Surah al-Ma’un mengajar kita metodologi berfikir bukan sekadar afirmatif sahaja tetapi juga negatif: seseorang itu bersalah bukan sekadar kerana dia telah lakukan kesalahan tetapi juga dia tidak lakukan apa yang patut dia lakukan. Artikel saya ini menerangkan metod berfikir secara negatif.

Saya sentiasa dengar ada yang berkata, “Saya orang baik kerana saya tidak pernah lakukan kesalahan seperti merompak, menipu, membunuh.”  

Saya berfikir secara negatif, lalu berkata, “Tetapi kamu tidak buat apa yang kamu patut buat. Kamu tidak bantu mereka yang memerlukan bantuan.

Kamu hanya hidup untuk keselesaan diri kamu sendiri. Kamu tidak pedulikan maslahat orang lain. Tiada sifat kemanusiaan. Inilah kesalahan kamu!”

Saya juga pernah dengar ada yang berkata, “Saya orang baik kerana saya tak pernah kacau orang lain.” 

Maka saya jawab,
“Tetapi kamu tetap bersalah kerana kamu tidak buat apa yang kamu patut buat iaitu kamu tidak cuba dakwah kepadanya agar dia memeluk Islam!”

Saya juga pernah dengar ada yang berkata, “Saya orang baik kerana saya memperjuangkan hak-hak kemanusiaan.” 

Saya jawab, “Kamu tetap bersalah kerana kamu tidak buat apa yang kamu patut buat. Kamu tidak memperjuangkan hak Tuhan bahawa tiada yang berhak disembah melainkan ALLAH SWT.”

Saya pernah dengar ada yang berkata, “Saya pelajar yang baik kerana saya tidak pernah ponteng kelas, meniru dan gagal peperiksaan.”

Saya respons, “Kamu tetap bersalah kerana kamu tidak belajar demi untuk mencari ilmu dan membaiki diri. Kamu belajar hanya untuk lulus peperiksaan. Kamu tidak hayati apa yang kamu belajar.”

Akhir sekali seorang ahli politik mungkin berkata, “Saya ahli politik yang baik kerana saya tidak pernah terima atau memberi rasuah.”

Kita perlu ajak dia berfikir secara ayat ketiga Surah al-Ma’un,
“Kamu tetap bersalah kerana kamu tidak buat apa yang kamu patut buat. Kamu tidak cegah rakan-rakan politik kamu untuk terima atau memberi rasuah!”

* Abdul Naser Tun Rahman Pengerusi Skuad Mubaligh Selangor (Smash)

Comments

Popular Posts