Xifu Naser: Al-Quran tidak boleh diterjemahkan
APAKAH makna 'terjemahan'? Bayangkan senario di mana anda bercuti di London dan anda nak pemandu teksi bawa anda ke Hotel Hilton, bagaimana kamu terjemahkan ayat bahasa Malaysia ini, “Saya nak pergi ke Hotel Hilton” kepada bahasa Inggeris?
Dengan mudahnya anda akan terjemahkan seperti ini, “I want to go to Hotel Hilton.” Pemandu teksi akan faham 100% tepat maksud anda. Dia akan bawa anda ke Hotel Hilton, dan bukan hotel-hotel lain.
Kalau tujuan terjemahan adalah merujuk kepada usaha untuk menyampaikan ketepatan maksud 100% seperti senario di atas, maka sudah tentu al-Quran tidak boleh diterjemahkan. Terjemahan tidak mampu menyampaikan 100% maksud al-Quran.
Latin bukan bahasa asal Bible. Ia adalah terjemahan. Tetapi terjemahan Latin inilah dianggap bahasa suci dan digunakan dalam ritual-ritual keagamaan Kristian seolah-olah ia adalah terjemahan yang 100% sempurna dari segi makna.
Ini berbeza dengan mindset Muslim tentang terjemahan al-Quran. Tidak sah walaupun azan dalam bahasa terjemahan.
Timbul persoalan pula kalau terjemahan al-Quran tidak tepat, berapa peratus pula ia berjaya menyampaikan maksud al-Quran?
Mungkinkah terjemahan yang serba kekurangan ini bakal mengelirukan? Kita ambil frasa 'al-hamdulillah' dalam Surah al-Fatihah sebagai contoh.
Frasa ini nampak pendek dan mudah. Ia biasanya diterjemahkan sebagai "Segala puji bagi ALLAH". Berdasarkan terjemahan di atas, timbul persoalan ini: Mengapa ALLAH SWT perlukan pujian kita seolah-olah kita perlu BAGI pujian kepada ALLAH SWT seperti kita bagi makanan pada Tuhan pula? Kalau ALLAH SWT Maha Kaya, Dia tidak memerlukan kita untuk bagi pujian kepada-Nya ?
Apabila makhluk disuruh bagi pujian kepada ALLAH SWT, ini seolah-olah ALLAH SWT sendiri tidak terpuji kalau tiada yang memujinya. Bayangkan seorang guru yang selalu meminta pelajar-pelajarnya memujinya. Permintaan ini menunjukkan bahawa guru itu rasa dirinya tidak terpuji.
Sebenarnya, terjemahan di atas hanyalah sekadar tafsir secara kasar terhadap kata sendi ‘li’ yang diterjemahkan sebagai ‘bagi’. Maka, ‘li’ pada li-llaah diterjemahkan sebagai ‘bagi ALLAH’.
Hakikatnya kalau kita memahami kata sendi ‘li’ dalam bahasa Arab, ia juga bermakna ‘milik, kepunyaan’. Contohnya, kita biasa sebut innaalillaahi. Terjemahannya ialah "Sesungguhnya kami kepunyaan/milik ALLAH".
Kita sekali lagi lihat kata sendi ‘li’ dalam ‘li-llaahi’ di atas. Tetapi sekarang diterjemahkan sebagai ‘milik, kepunyaan’. Maka, Imam ar-Razi dalam kitabnya Mafaatiih al-Ghaib mentafsirkan bahawa kata sendi ‘li’ juga bermakna ‘milik/kepunyaan’ dalam frasa ‘al-Hamdu lillaah’. Maka, ia juga boleh diterjemahkan sebagai "Segala puji milik/kepunyaan ALLAH".
Maknanya ialah sifat terpuji adalah dimiliki oleh ALLAH SWT. Sama ada kita bagi pujian kepada-Nya atau tidak, ALLAH SWT tetap memiliki sifat terpuji kerana sifat ini memang sifat-Nya yang asal.
Maka, tidak timbul isu ALLAH SWT memerlukan pujian hambanya kerana ALLAH SWT memang memiliki sifat terpuji.
Timbul juga persoalan kalau segala pujian, bukan sebahagian pujian, adalah bagi ALLAH SWT, maka bolehkah kita bina berhala ALLAH SWT sebagai tanda pujian kepadanya? Ayat tidak mengkhusus mana-mana bentuk atau cara pujian bagi ALLAH SWT. Maka, bolehkah kita mereka-reka bentuk pujian kita sendiri seperti membina berhala?
Maka, kata sendi ‘li’ juga membawa makna ‘yang layak, sesuai untuk’. Contohnya, frasa ‘at-tayyibaat lit-tayyibiin’ yang diterjemahkan sebagai ‘perempuan yang baik hanyalah layak/sesuai untuk lelaki yang baik’.
Demikian juga al-hamdulillaah boleh diterjemahkan sebagai "Segala puji yang layak, sesuai untuk ALLAH SWT." Maka, pujian dengan membuat berhala tidak layak, tidak sesuai untuk ALLAH SWT.
Secara ringkasnya, kita hanya membincangkan satu kata sendi ‘li’ di sini dan kita lihat betapa mendalamnya makna al-Quran. Terjemahan al-Hamdulillah sebagai "Segala puji bagi ALLAH SWT" mungkin akan mengelirukan dan menyempitkan. Setiap terjemahan adalah satu tafsiran.
Umat Islam patut rasa bahawa kebergantungan pada terjemahan bukan sesuatu yang kekal. Usaha mesti dilakukan untuk meminimumkan kebergantungan ini supaya keluasan makna al-Quran benar-benar dirasai melalui bahasa aslinya.
* Abdul Naser Tun Rahman Ketua Biro Pendidikan Persatuan Cina Muslim
* Abdul Naser Tun Rahman Ketua Biro Pendidikan Persatuan Cina Muslim
Comments
Post a Comment