Dosa! Ibu bapa halang anak kahwin

ADALAH pelik bila seorang anak perempuan berumur 18 tahun rasa takut untuk memberitahu ibu bapanya bahawa dia nak kahwin.
Yang pelik di sini ialah bukan kerana anak perempuan yang nak kahwin itu baru berumur 18 tahun. Yang pelik ialah perasaan takutnya. Apa yang nak ditakutinya sedangkan dia hanya ingin kahwin, iaitu inginkan perkara makruf?

Tetapi anak perempuan yang sama mungkin tidak takut untuk memberitahu ibu bapanya bahawa dia nak pergi konsert K-Pop, dia nak keluar dengan teman lelakinya untuk bersama belajar di perpustakaan kononnya, dia nak ikuti majlis zikir dan ilmu agama. Ibu bapa tidak pula periksa sama ada ilmu agama yang dipelajarinya itu betul atau tidak.

Berdosa jika ibu bapa memberi gambaran yang menakutkan mengenai perkahwinan seolah-olah meminta izin kedua orang tua untuk kahwin adalah umpama meminta izin untuk berzina!



Ramai pelajar saya memberitahu bahawa mereka takut dilabel oleh ibu bapanya sebagai gatal. Secara logiknya, adakah ibu bapanya kahwin tanpa rasa gatal dan bernafsu? Kalau tak gatal dan bernafsu, lebih baik kahwin dengan pokok sahaja!
Ada yang takut dilabel sebagai gila seks, tak kuat iman jika minta izin kahwin awal. Secara logiknya kalau tak kuat iman, anak perempuan tak akan minta izin untuk kahwin. Lebih baik beromen tanpa pengetahuan ibu bapa.

Tapi anak perempuannya tak gila. Kerana dia waras, maka dia minta izin untuk kahwin. Dia waras seks, bukan gila seks. Adakah salah dia meminta izin untuk seks halal melalui nikah dengan restu ibu bapa? Mengapa ibu bapa mahu marah-marah pula? Kalau akhirnya, anaknya terlanjur, salah siapa?

Sepatutnya ibu bapa rasa bersyukur kerana anak perempuan menghormati mereka dengan meminta izin. Sepatutnya ibu bapa rasa bersyukur kerana anaknya bukan homoseksual! Sepatutnya ibu bapa rasa bersyukur kerana anaknya bukan makhluk asing yang cacat nafsu seks!

Mungkin ibu bapa rasa anak perempuan umur 18 tahun patut fokus pada belajar sahaja. Memanglah pelajaran sangat penting tetapi anak perempuan mereka bercampur dengan ramai pelajar lelaki dalam suasana pembelajaran masa kini.

Mereka mungkin ada study circle, ada program persatuan. Akhirnya, terjatuh cinta walaupun tiada niat pun untuk bercinta pada mulanya. Bila sudah jatuh cinta, bagaimana nak cabut panah cinta dari hati?

Sakit kena panah cinta tapi takut pula nak dapatkan nasihat ibu bapa tentang sakit ini. Pasti ibu bapa hanya tahu marah-marah sahaja. Suruh putuskan terus.

Bagaimana hendak putuskan tali percintaan yang tidak dapat di pegang, dilihat? Ia hanya dapat di rasa di lubuk hati. Akhirnya, anak perempuan teruskan drama Dilwale tanpa pengetahuan ibu bapa.

Kadang-kadang saya rasa pelik mengapa ibu bapa begitu tidak memahami, atau tidak mahu memahami, perasaan anaknya yang meningkat dewasa seolah-olah mereka tidak pernah melalui umur remaja dan zaman bercinta. Adakah mereka lupa kisah silam mereka?  
Ada kalangan sahabat saya yang rakus bercinta semasa mereka remaja tetapi bila mereka sudah berumur dan mempunyai anak, mereka berlagak seolah-olah mereka itu malaikat, tak pernah menjadi setan! Anak diharamkan bercinta sehinggalah mereka habis belajar, sudah beli kereta dan rumah! Mereka meletakkan syarat-syarat yang mereka sendiri tidak mampu penuhi dulu.

Ada pula ibu bapa yang benarkan anak perempuannya keluar dengan teman lelakinya berdua-duaan tetapi marah-marah bila anak mohon kahwin awal. Adakah mereka ingat bila anak perempuan keluar dengan teman lelakinya adalah untuk membaca Surah Yasin bersama? Adakah mereka ingat anaknya itu malaikat dan teman lelakinya wali ALLAH?
Ibu bapa tak perlu jadi hipokrit. Anak boleh nampak. Ibu bapa perlu realistik supaya anak cepat matang.



Angka statistik seks bawah umur makin merisaukan. Pendidikan seks dan cinta bermula dengan ibu bapa. Saya pun sudah menjadi datuk kepada cucu. Saya nasihati ibu bapa agar jangan melihat soal seks dan cinta sebagai tabu.

Lagi-lagi zaman internet dan gajet. Persoalan-persoalan yang generasi dulu anggap tabu sudah menjadi kebiasaan pada generasi baru. Kalau kita menafikan, anak akan anggap nasihat kita sebagai artifak dinosaur yang sudah tak relevan lagi!

*Abdul Naser Tun Rahman, Ketua Biro Pendidikan Persatuan Cina Muslim

Comments

Popular Posts