Perlunya fiqh multikultural

SEORANG ustaz dengan bangga mengatakan, “Kalau dulu, kita perlu pergi perpustakaan untuk dapatkan kitab Musnad Ahmad. Sekarang, bukan sekadar Musnad ini, seluruh perpustakaan kitab-kitab klasik ulama berada dalam tab saya ini! Gajet ini adalah perpustakaan digital berjalan saya!”

Inilah keadaan dunia tsunami informasi masa kini. Ketinggalanlah agamawan yang hanya membaca sebuah kitab fiqh berdasarkan satu aliran sahaja. Dia tidak akan mampu bersaing hujah dengan mereka yang mempunyai gajet atau perpustakaan digital. 




“Apakah pandangan Xifu tentang isu troli halal baru-baru ini? Seekor anjing telah diletakkan dalam sebuah troli supermarket, lalu banyak troli kena samak atau cuci dengan air dan tanah akibat terkena kenajisan anjing itu supaya ia ‘halal’ diguna. Kita sudah banyak bahan pencuci yang lebih efektif, apakah kena guna tanah lagi?”

Soalan ini sebenarnya menguji kewibawaan ilmiah kita sebenarnya. Saya sedar bahawa kalau saya bagi hadis tentang isu anjing dan samak ini, penanya dengan mudah akan taip kata kunci hadis itu dalam gajetnya, lalu akan keluarlah pelbagai syarah dan pendapat tentang hadis anjing dan samak. 

Jika saya hanya tahu hujah satu aliran, sudah tentu akan 'dibuli' oleh mereka yang melihat isu ini dari pelbagai aliran dan hujah! Kewibawaan saya atau 'kiasu' saya pasti tercabar.
Ini yang saya katakan bahawa seorang ustaz atau pendakwah perlu mempunyai ilmu fiqh multikultural iaitu ilmu fiqh yang mampu bersaing dengan mereka yang berhujah dari pelbagai budaya, kultural dan aliran. Ilmu fiqh, dan ilmu-ilmu lain seperti sosiologi, psikologi, ekonomi, politik dan sains makin kompetitif.

Ilmu fiqh multikultural juga perlu untuk menyelesaikan masalah-masalah yang melibatkan masyarakat majmuk. Satu masalah menjadi masalah kerana kita tidak melihatnya dari perspektif lain. Kita taksub pada perspektif yang kita sudah biasa. Kita enggan berfikir di luar zon selesa.  

Melayu selesa berada dalam Mazhab Shafii dan Mamak selesa berada dalam Mazhab Hanafi. Bayangkan kalau kita cuba selesaikan masalah Melayu mengikut Mazhab Hanafi atau masalah Mamak mengikut Mazhab Shafii. Ada kemungkinan Melayu akan rasa tidak selesa menggunakan fiqh Mazhab Hanafi jika mereka diberitahu demikian. 

Sebenarnya, dalam Mazhab Shafii sendiri terdapat pelbagai aliran atau khilaf. Contohnya, terdapat dua versi tentang soal samak bila sentuh babi. Imam Shafii berpendapat bahawa sentuh babi kena samak tetapi Imam Nawawi, seorang ulama besar Mazhab Shafii, berpendapat bahawa sentuh babi tidak perlu samak. Hanya menyucikan dengan sekali basuh dengan air tanpa guna tanah.

Soalnya adakah Melayu selesa jika mereka tersentuh babi tetapi tidak menggunakan tanah untuk menyucikan?

Antara dua versi Mazhab Shafii tentang isu samak sentuh babi, Melayu lebih selesa untuk memilih versi samak dengan guna tanah bila tersentuh babi. Ini tidak salah pun kerana sesuai dengan jiwa mereka. Versi Imam Nawawi akan menimbulkan kontroversi jika diperkenalkan kepada kampung Melayu walaupun Imam Nawawi mengeluarkan fatwa mengikut metodologi atau usul Mazhab Shafii.

Persoalannya apakah aliran fiqh yang sesuai untuk budaya Cina supaya tidak menimbulkan fitnah dan buruk sangka kepada Islam atau Islamofobia? Janganlah kita membela satu mazhab sehingga tergadai maruah agama.

Asatizah K-Fiqh dan pendakwah-pendakwah Cina dari Macma (Malaysian Chinese Muslim Association) akan bekerjasama untuk menjayakan Seminar Fiqh Multikultural pada 30 Januari ini. Inilah kali pertama, timbul satu kesedaran perlunya interkultural dialog bagi menghasilkan anjakan paradigma dari fiqh monokultural ke fiqh multikultural.

Pengalaman-pengalaman tokoh pendakwah Cina yang luas dalam dakwah masyarakat cina perlu di kongsikan bersama dengan asatizah Melayu bagi menghasilkan wacana fiqh yang mampu membuat bangsa Cina rasa selesa dengan Islam sebagai agama Cina juga. 

Selama ini, Islam hanya dianggap sebagai agama Melayu. Masuk Islam maknanya masuk Melayu. Mengapa tidak wacana fiqh dibentuk sedemikian rupa sehingga bangsa Cina nampak kecinaan dalam Islam sebagaimana Melayu nampak kemelayuan dalam Islam.

* Abdul Naser Tun Rahman Ketua Biro Pendidikan Persatuan Cina Muslim



Comments

Popular Posts