Di antara mewarisi dan menguasai

KISAH pewaris yang berbelanja dan menghabiskan harta peninggalan orang tuanya sudah menjadi klise samada melalui cerita dari mulut ke mulut mahupun bila ia dijadikan drama TV.
Harta yang diwarisi itu langsai secara cepat kerana si pewaris memperolehnya cara mudah seperti bulan jatuh ke riba. Kerana tidak pandai mencari, maka si pewaris itu juga tak pandai menyimpan. Akhirnya, dia hilang segala-galanya dan kembali ke asal yang tiada apa-apa.
Orang yang meninggalkan harta pusaka yang melimpah ruah kepada anak cucu itu biasanya terdiri daripada mereka yang rajin berusaha. Mereka bekerja di segenap waktu untuk membina diri dan keluarganya tanpa mengenal penat dan lelah. Hasrat mereka, biarlah mereka letih dan sengsara asalkan anak cucu yang menerima harta pusakanya akan senang lenang di kemudian hari.


Niat mereka sememangnya baik.
Namun, apabila terjadinya hal harta peninggalan yang dilapah dan dikikis oleh si pewaris, maka andainya orang yang meninggalkan harta itu hidup balik, dia akan mati kembali akibat melihat apa yang terjadi terhadap hartanya! Sudah tentu dia akan kesal kerana usahanya itu dipersia-siakan kerana si pewaris bukan sahaja tidak pandai menjaga dan mengembangkan hartanya tetapi sebaliknya menghabiskannya tanpa bersisa.
Mengapa terjadi begini? Mengapa kisah harta pusaka yang dilicinkan oleh si pewaris tanpa bersisa itu sudah saban kali kita dengar berlaku di sekeliling kita hingga ia dijadikan drama menarik yang penuh iktibar? Ia tidak lain berpunca akibat tiada komunikasi jelas di antara si pemberi dan si penerima.
Apa yang kerap terjadi ialah si pencari harta tidak memberitahu langsung apa yang dia ada kepada si pewaris sehinggalah dia meninggal dunia. Si pewaris yang tiba-tiba mengetahui betapa banyaknya harta yang kini menjadi kepunyaannya menjadi gelap mata. Akibat tidak pernah dididik untuk memahami dan mengalami jerih perih si pencari harta itu, dia tidak melihat besarnya nilai harta yang diperoleh itu. Maka dia terus jolikan sahaja sehingga selesai.
Tetapi, sekiranya, si pencari harta itu mengajak dan mengajar pewarisnya ilmu mencari harta dalam segala kepayahan dan kesukaran dengan pelbagai pengorbanan, maka si pewaris akan sama-sama kenal erti susah payah itu. Apabila si pencari harta itu meninggal dunia, maka si pewarisnya sudah bersedia untuk menjaga, malah mengembangkannya berlipat kali ganda untuk pewarisnya pula.
Ada di kalangan kita yang amat beruntung seandainya diwariskan harta yang banyak. Mudah-mudahan kita yang mendapatnya pandai mengendali dan menggandakannya. Bagaimana pun, apakah kita sedar yang kita semua sebenarnya adalah pewaris harta yang pelbagai? Ia bukannya material atau aset. Tetapi nilainya tidak terkira!
Harta yang ditinggalkan kepada kita adalah dalam bentuk bahasa dan budaya kita yang kaya. Orang tua kita telah meninggalkan pusaka bahasa yang indah. Kaya istilah dan perbendaharaan katanya.
Pewarisnya harus menggunakannya dengan berhati-hati kerana pengucapannya mestilah disampaikan dengan penuh bersopan.
Pilihan kata-katanya penuh berlapik tanda si empunya bahasa itu tinggi akhlaknya. Lenggok bahasa dan intonasi katanya itu melambangkan budaya yang sopan santun walaupun di dalam hati bergelodak dan bergelora segala kesumat dan bungkaman perasaan. Ah, mungkin kerana orang tua tidak pernah melihat bahasa dan budaya ini sebuah peninggalan yang harus diwarisi dengan amanah, maka kita pun tidak rasa apa-apa bila mengenepikannya hingga tidak menggunakannya langsung!
Bila berbudaya, apa yang dimakan, cara menghidang atau cara menyuap sudah tidak tertib lagi. Apa yang dipakai pun sudah sekali sekala kita gunakan kerana mengikut adat, bukannya untuk menghidupkannya. Warisan cara berjiran dan berkomuniti sudah tidak dikekalkan dengan identiti mengikut warisan bangsa kerana kemodenan. Kalaulah orang tua kita menyatakan bahawa ia sebenarbenarnya harta warisan, mungkin kita akan menjaganya.
Islam yang kita warisi inipun banyak yang tinggal kulit. Orang lain mencari Islam. Kita yang mewarisi tidak sedar betapa beruntungnya kerana mewarisi agama ini.
Jika ia hanya Islam yang rutin dengan yang wajib-wajib yang dicampur aduk dengan yang ibadah mengikut adat dan bukan tuntutan agama, maka sayang sekali kerana orang tua yang meninggalkannya tidak mengajar kita bagaimana mencari ALLAH SWT melalui khabar dari Muhammad SAW. Mewarisi sesuatu itu amat mudah.
Tetapi ia menjadikan kita alpa. Kerana itu, apa jua yang diwarisi itu mesti dikuasai, tidak kira samada ia harta benda, budaya mahupun agama. Mewarisi sesuatu biasanya akan pupus. Menguasai sesuatu itu akhirnya akan menambah apa yang kurang.
Malah, ia menjadi peninggalan kita kepada mereka selepas kita.

Comments

Popular Posts